Anak Malaysia Ini Jadi Pensyarah Asia Tenggara Pertama di Universiti Rusia
Anak kelahiran Malaysia sejak akhir-akhir ni tak putus-putus
membanggakan negara dengan kejayaan yang mereka peroleh di peringkat
antarabangsa. Terbaru hari ini, seorang anak Malaysia telah mewakili
Asia Tenggara selepas menjadi pensyarah jemputan pertama yang
dijemput sebagai Pensyarah Pelawat di School of Law, Far Eastern Federal
University (FEFU) di Vladivostok, Rusia. Menurut Astro AWANI, Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, 36, telah dijemput dek kerana kepakarannya dalam undang-undang laut antarabangsa terutamanya di Selat Melaka dan Singapura. Fuh dasyat! Dalam
temubualnya bersama AWANI, Mohd Hazmi menjelaskan bahawa kepakarannya
diperlukan di Rusia dalam mengembangkan sistem undang-undang laut di
sana. Malah, pihak FEFU mula tertarik dengannya selepas melihat
kajian PhD Mohd Hazmi berkaitan alam sekitar marin dan navigasi
antarabangsa di Selat Melaka dan Selat Singapura.
Beliau
yang juga pensyarah kanan di USIM merasa sangat berbangga dengan
kepercayaan yang diberikan pihak FEFU kepadanya dan merupakan satu
penghormatan besar buat sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
“Rusia
turut mengagumi negara kita kerana walaupun
Malaysia bukan sebuah
negara maritim yang besar tetapi kita berupaya mengawal aktiviti
perkapalan dan melindungi alam sekitar di kawasan Selat Melaka.
“Tanpa
kepakaran daripada Malaysia, ekonomi dunia akan terganggu kerana Selat
Melaka merupakan antara laluan perkapalan yang tersibuk di dunia,” jelasnya yang kini sudah empat kali dijemput ke FEFU. Mohd
Hazmi kini berada di Rusia sejak 2 Mac lalu hingga 9 Mac ini untuk
menyampaikan tiga syarahan termasuk satu sesi motivasi kepada pelajar di
sana. Di samping itu, beliau juga akan menyampaikan syarahan
mengenai isu jerebu dan lautan yang berlaku di Asia Tenggara serta
mengambil peluang ini untuk mempromosi Malaysia. Semoga terus sukses Dr Hazmi!